Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR)

Projek Kecil/ Berimpak Tinggi/ People Centric (Projek Kecil) ialah projek infrastruktur kecil awam yang membolehkan agensi Kerajaan (Persekutuan dan negeri) mengemukakan permohonan untuk pertimbangan serta kelulusan Kementerian Ekonomi.  Projek Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) ialah permohonan projek infrastruktur kecil awam daripada rakyat secara terus kepada Kementerian Ekonomi.

Syarat dan kriteria utama projek ialah infrastruktur kecil awam yang memberikan kesan secara langsung atau terus kepada rakyat (mesra rakyat) dalam aspek penggunaan dan manfaat segera. Projek Kecil dan IKR yang boleh diberi pertimbangan untuk dibiayai menggunakan peruntukan yang disediakan hendaklah memenuhi syarat dan kriteria, antara lain seperti berikut:

  1. Infrastruktur kecil awam yang memberi manfaat segera kepada rakyat setempat atau masyarakat umum;
  2. Pelaksanaan projek tidak melibatkan pengambilan tanah, bukan untuk tujuan keperluan atau aset individu dan tidak terletak di atas tanah milik persendirian;
  3. Kos projek yang dimohon adalah di antara RM100,000 hingga RM500,000 bagi Projek Kecil;
  4. Kos projek yang dimohon tidak melebihi RM200,000 bagi Projek IKR;
  5. Projek fizikal yang boleh dilaksanakan segera (cangkul ready) dan dapat disiapkan dalam tempoh 12 bulan;
  6. Projek hendaklah memenuhi ciri-ciri best value for money, tiada elemen bermewah-mewah (nice to have) dan amat diperlukan untuk kepentingan/kegunaan umum (must have); 
  7. Projek hendaklah tidak bertindih dengan projek yang telah memperoleh kelulusan peruntukan daripada agensi Kerajaan lain (Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri).

Skop bagi Projek Kecil dan IKR yang dibenarkan adalah termasuk namun tidak terhad kepada kerja membaik pulih, menaik taraf dan menyenggara infrastruktur kecil awam sedia ada dan mengganti atau membina baharu infrastruktur kecil awam seperti berikut:

  1. Parit, longkang dan culvert;
  2. Jalan, jambatan, titi, laluan pejalan kaki dan low level crossing;
  3. Cerun, tebing, gabion dan benteng;
  4. Gelanggang sukan, padang permainan, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan rekreasi;
  5. Dewan terbuka, balai raya dan hentian bas; dan
  6. Masjid/surau/madrasah (terhad kepada premis yang berdaftar atau mendapat tauliah dengan atau daripada pihak berkuasa agama negeri). Bagi permohonan melibatkan pembinaan/ penyelenggaraan/ menaik taraf/ membaik pulih masjid/surau/madrasah perlu mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa agama negeri.

Dalam hal ini, projek yang tidak dibenarkan di bawah Projek Kecil dan IKR adalah melibatkan perkara seperti berikut:

  1. Kerja membina/ menyenggara/ menaik taraf/ membaik pulih aset/ pejabat kerajaan/ PBT dan aset komersial milik agensi atau badan berkanun, termasuk aset yang telah dibangunkan menggunakan peruntukan perbelanjaan pembangunan;
  2. kerja berkala seperti potong rumput, memangkas pokok, membersih longkang dan sampah; \
  3. projek untuk kegunaan individu; dan
  4. pemberian tunai atau barangan.

1. Bagi permohonan melibatkan Projek Kecil, agensi pemohon perlu mengemukakan maklumat lengkap seperti nama projek, skop projek, bill of quantities (BQ) dan gambar tapak lokasi projek/infrastruktur sedia ada. Agensi pemohon bertanggungjawab bagi memastikan anggaran kos projek yang dimohon adalah munasabah dan berasaskan kepada Jadual Kadar Harga yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa yang berkaitan.
 

2. Bagi Projek IKR, permohonan boleh dikemukakan menerusi aplikasi IKR di laman sesawang www.ikr.ekonomi.gov.my. Pemohon boleh memilih agensi Kerajaan (Persekutuan/negeri) yang bersesuaian untuk dilantik sebagai pelaksana projek. Maklumat yang perlu disediakan semasa memohon Projek IKR adalah seperti berikut: 
 

  1. Nama projek dengan anggaran kos projek yang munasabah dan sepadan;
  2. Gambar lokasi dan keadaan semasa projek yang dimohon; dan
  3. Skop projek dan maklumat lain yang menyokong permohonan projek.

  1. Penyaluran bagi Projek Kecil yang diluluskan akan dibuat kepada agensi yang telah mengemukakan maklumat lengkap sebagaimana dinyatakan dalam surat pemakluman kelulusan. 
     
  2. Bagi Projek IKR, permohonan yang telah disenarai pendek akan dikemukakan kepada agensi pelaksana untuk semakan kebolehlaksanaan. Sekiranya agensi yang dicadangkan bersetuju untuk dilantik sebagai pelaksana, penyaluran akan dibuat kepada agensi Kerajaan berkenaan tertakluk kepada maklumat lengkap yang dikemukakan sebagaimana dinyatakan dalam surat pemakluman kelulusan projek.