Kementerian Ekonomi memegang peranan penting dalam perancangan pembangunan sosioekonomi, peruntukan dana pembangunan dan kemudahan, penyelarasan dan penyeliaan projek pembangunan negara. Penubuhannya bermula pada 24 April 1956, yang berasal sebagai Sekretariat Ekonomi kepada Jawatankuasa Ekonomi Majlis Kerajaan Persekutuan, berkembang daripada semasa ke semasa melalui peralihan sebagai Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan sebagai sebuah Kementerian antara tahun 2018 dan 2022.
Peralihan kepada sebuah Kementerian Ekonomi mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesaksamaan pembangunan negara yang inklusif melalui transformasi, peranan utamanya sebagai perancang pembangunan sosioekonomi negara dan penawaran value proposition yang baharu yang melibatkan perancang strategik negara (gabungan perancangan jangka masa panjang dan sederhana), economics analytics and data intelligence, highly digitalised organisation (organisasi pendigitalan komprehensif), pengurusan kepakaran sosioekonomi, penyelidikan dan inovasi, agenda nasional serta menjadi organisasi berprestasi tinggi dengan persekitaran work-life balance yang kondusif.
Ini selari dengan fungsi utama Kementerian Ekonomi sebagai perancang pembangunan sosioekonomi dengan value proposition kritikal yang memfokuskan perancangan jangka masa sederhana dan panjang yang merangkumi pelbagai aspek dari merangka visi strategik negara, penetapan dasar ekonomi, mengawal selia ekonomi, serta inovasi untuk pertumbuhan inklusif, mampan dan kesejahteraan rakyat.
Kementerian Ekonomi menghadapi tiga cabaran utama dalam konteks sosioekonomi negara, iaitu: mengukuhkan keupayaan fiskal negara, meningkatkan hasil negara dan penstrukturan semula ekonomi. Ini melibatkan pengoptimuman pendapatan kerajaan, pengaruh atas perbelanjaan negara untuk pembangunan dan memastikan sumber kewangan negara dilaburkan dalam sektor yang berpotensi tinggi untuk kesan berganda pada masa akan datang.
Strategi bersepadu diperlukan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif bagi Malaysia. Oleh yang demikian Kementerian Ekonomi perlu memperkukuhkan peranannya sebagai Agensi Pusat dan sebagai sebuah Kementerian secara lebih efektif dengan transformasi penyampaian perkhidmatan. Ini selaras dengan strategi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan sektor awam yang menekankan kepentingan perkhidmatan awam yang mahir, berkemampuan dan responsif untuk memajukan pertumbuhan sosioekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.