Kementerian Ekonomi: Peneraju Utama Pembangunan Negara Sejak 1956

klcc-tower
Sejarah Awal Penubuhan

Kementerian Ekonomi adalah agensi utama kerajaan yang bertanggungjawab untuk menyediakan pelan pembangunan negara. Kementerian ini bermula pada 24 April 1956 dengan penubuhan Sekretariat Ekonomi kepada Jawatankuasa Ekonomi Majlis Eksekutif Persekutuan (Economic Committee of Federal Executive Council). Sekretariat Ekonomi telah disusun semula menjadi UPE pada tahun 1961 dan diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Ekonomi) di Jabatan Perdana Menteri. Bermula pada tahun 1970, UPE diketuai oleh seorang Ketua Pengarah dengan Tan Sri Dato’ Thong Yaw Hong dilantik sebagai Ketua Pengarah pertama.

Pengukuhan Fungsi dan Penyusunan Semula

Kementerian Ekonomi telah melalui beberapa proses pengukuhan fungsinya bagi memantapkan peranan UPE dalam perancangan pembangunan sosioekonomi negara. Ini termasuk penyusunan semula struktur organisasinya pada tahun 2007 yang telah mengkhususkan bidang perancangan kepada dua sektor, iaitu perancangan makro dan perancangan sektoral. Pada tahun 2009, Seksyen Penswastaan dan Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI) UPE telah dipindahkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), iaitu satu agensi baharu di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pembentukan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi

Dengan perubahan kerajaan selepas pilihanraya umum ke-14 pada tahun 2018, UPE telah distruktur semula menjadi kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA). Mandat dan amanat utama MEA adalah dalam menerajui pembangunan sosioekonomi negara melalui perancangan yang berkualiti ke arah pembangunan negara yang inklusif, adil dan saksama. Selain itu, MEA juga diberikan tanggungjawab penyeliaan terhadap 31 agensi, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan perbadanan kemajuan ekonomi negeri. Berikutan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 18 Disember 2019, UPE secara rasmi dibubarkan dengan peranan dan fungsi UPE telah diambil alih oleh MEA. Dengan itu, fungsi MEA lebih menyeluruh meliputi aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan kawal selia.

Penubuhan Semula EPU di Bawah Jabatan Perdana Menteri

EPU telah diwujudkan semula sebagai satu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berikutan pembentukan Kabinet baharu pada 10 Mac 2020. EPU mengambil alih peranan dan tanggungjawab MEA apabila MEA dibubarkan. Sejak penubuhannya hampir enam dekad lalu, peranan dan fungsi EPU dalam menyediakan pelan perancangan pembangunan negara bagi tempoh sederhana dan jangka panjang tidak banyak berubah walaupun telah melalui beberapa proses penyusunan semula, pembubaran dan pengwujudan semula. EPU sentiasa menjajarkan falsafah pembangunan seiring dengan perubahan pentadbiran Kerajaan dan dasar pembangunan semasa.

Pembubaran EPU dan Pengambilalihan oleh Kementerian Ekonomi (2022)

Pada 23 Disember 2022, EPU telah dibubarkan berikutan perubahan kerajaan selepas piliharanraya umum ke-15. Peranan dan tanggungjawab EPU diambil alih oleh Kementerian Ekonomi yang diketuai oleh Ketua Setiausaha, Dato’ Nor Azmie bin Diron.

Garis Masa Kementerian Ekonomi:
2022
Kementerian Ekonomi diwujudkan berikutan perubahan Kerajaan selepas PRU15.
2020
EPU diwujudkan semula selepas pembentukan Kerajaan dan Kabinet baharu pada 10 Mac 2020. EPU diletakkan di bawah JPM semula.
2018
Fungsi EPU diambil alih Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berikutan perubahan Kerajaan selepas PRU14.
2017
Civil Service Delivery Unit (CSDU) dan Sekretariat TN50 ditubuhkan dan diletak dibawah EPU
2009
Seksyen Penswastaan dan PFI dipisahkan daripada EPU dan menjadi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS)
2007
Penyusunan semula organisasi melalui Rebranding of EPU
2003
Malaysia Development Institute (MDI) ditubuhkan di EPU
1998
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah ditubuhkan
1970
Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilancarkan
1961
Sekretariat Ekonomi disusun semula sebagai Unit Perancang Ekonomi dibawah JPM
1956
Bermula sebagai Sekretariat Ekonomi kepada Committee of Federal Executive Council