Pemudah Cara Pihak Berkepentingan

Bahagian Pembangunan Wilayah (BPW) diwujudkan hasil daripada penstrukturan semula Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) pada bulan Januari 2019 dan terus berfungsi sehingga kini apabila EPU, JPM distruktur semula sebagai Kementerian Ekonomi. BPW terbahagi kepada empat (4) unit iaitu Pembangunan Spatial, Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Koridor dan Kerjasama Serantau. Objektif utama BPW adalah untuk memastikan perancangan pembangunan yang cekap dan berkesan dari segi penggunaan sumber secara optimum ke arah mencapai keseimbangan pembangunan antara wilayah, antara negeri dan antara bandar dan luar bandar.

Kerajaan komited meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan negeri kurang membangun melalui pelbagai usaha, termasuk menarik pelaburan asing dan tempatan. Dalam masa yang sama, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan sosioekonomi, dengan langkah membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan isi rumah secara strategik, terutama di enam negeri kurang membangun berbanding negeri maju seperti Selangor, Johor, dan Pulau Pinang. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kerajaan telah merangka strategi untuk merapatkan jurang pembangunan luar bandar serta bandar. Langkah ini melibatkan peningkatan keseimbangan wilayah melalui pelaburan berkualiti, penambahbaikan ekosistem perniagaan, pembangunan infrastruktur, serta pemerkasaan aktiviti ekonomi luar bandar. Pelbagai inisiatif juga disediakan melalui institusi seperti MARA dan FELDA, termasuk bantuan dan latihan bagi mempelbagaikan sumber pendapatan, serta galakan keusahawanan. Usaha ini diharap dapat menjamin pembangunan inklusif dan saksama untuk semua rakyat Malaysia

Pewujudan bandar pintar adalah salah satu agenda negara dalam mempertingkat keseimbangan dan keterangkuman wilayah dengan 3 kaedah, iaitu; pertama, menggalakkan pendekatan bandar mampan dan pintar untuk kesejahteraan penduduk; kedua, menjadikan bandar-bandar di Malaysia setara dengan bandar pintar global; dan ketiga, Indikator penilaian diperkenalkan bagi menetapkan standard pengiktirafan bandar pintar.

Dalam menangani isu-isu perbandaran semasa dan akan datang, pendekatan bandar pintar (smart city) merupakan keutamaan strategik kepada Pembangunan negara serta membantu menpercepat manifestasi negara ke arah mencapai status negara pintar (smart nation). Antara elemen bandar pintar termasuk penggunaan lampu jalan pintar, tanda arah digital, peningkatan ruang hijau, program kesedaran bandar pintar, penggunaan media sosial untuk komuniti, sistem pemantauan sisa, Wi-Fi percuma di kawasan awam, dan penubuhan command centre di PBT.

Penubuhan koridor ekonomi wilayah, diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), bertujuan mengurangkan ketidakseimbangan wilayah, menjana pelaburan dan peluang pekerjaan yang saksama, serta mempercepat pembasmian kemiskinan. Ia juga bertindak memudah dan mempercepat pelaksanaan projek dalam Pelan Induk Koridor serta menggalakkan penyertaan sektor awam untuk memacu pembangunan. Kerajaan telah menubuhkan lima (5) PBK yang berperanan untuk merangsang, menggalakkan dan mempercepat pertumbuhan di wilayah, iaitu:

• Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA);

• Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA);

• Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC);

• Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA); dan

• Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

PBK akan menyelaras keutamaan pembangunan di wilayah koridor ekonomi masing-masing dengan memanfaatkan kekuatan, keunikan dan ketersediaan sumber. Usaha juga akan terus dilaksana untuk menggalakkan penggunaan teknologi termaju dalam aktiviti huluan dan hiliran.

Salah satu inisiatif di bawah UKS ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (Johor-Singapore Special Economic Zone – JS-SEZ) yang telah bermula melalui platform Joint Ministerial Committee for Iskandar Malaysia (JMCIM). Perjanjian Bersama JS-SEZ juga telah ditandatangani oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi Malaysia dan H.E. Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan & Industri Singapura, pada 7 Januari 2025 di Putrajaya, yang turut disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Singapura.

JS-SEZ dibayangkan sebagai inisiatif yang dinamik dan berdaya saing, dengan sektor swasta yang bertenaga dan diperkasakan, yang akan meningkatkan potensi ekonomi Malaysia dan Singapura sebagai hab global di samping salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia. Kejayaan pelaksanaan JS-SEZ akan menjadi "win-win" bagi kedua-dua pihak, kerana inisiatif ini melengkapkan kekuatan Singapura dan Malaysia, dan memupuk kesalinghubungan ekonomi dengan peningkatan aliran barangan, pelaburan dan personel rentas sempadan.