Kementerian Ekonomi menjadi urus setia kepada jawatankuasa perancangan dan pembangunan sosioekonomi peringkat nasional termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN) seperti:

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)

1. Latar Belakang

  1. Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) merupakan sebuah majlis penasihat ekonomi kepada Kerajaan yang pertama kali telah ditubuhkan pada 7 Januari 1998 semasa pentadbiran Perdana Menteri keempat. Pada ketika itu, MTEN berperanan sebagai badan perundingan kepada Jemaah Menteri untuk menangani masalah ekonomi negara, khususnya memberi nasihat kepada Kerajaan bagi memulihkan ekonomi dan mengelakkannya daripada terjerumus dalam kemelesetan.

  2. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember 2022 telah bersetuju supaya MTEN dikekalkan sebagai sebuah majlis penasihat ekonomi tertinggi kepada Kerajaan dan akan bertindak sebagai peneraju dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ke atas ekonomi negara secara menyeluruh dengan memberikan fokus kepada keputusan- keputusan dasar merentas Kementerian dan Agensi untuk menyelesaikan isu-isu struktural berkaitan ekonomi mengikut keutamaan Kerajaan.

  3. Setiap kertas cadangan yang akan dibentangkan pada Mesyuarat MTEN hendaklah melalui dua peringkat Jawatankuasa terlebih dahulu iaitu Jawatankuasa Kumpulan Kerja dan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) MTEN.

  4. Jawatankuasa Kumpulan Kerja ditubuhkan bagi menjalankan sesi libat urus dan konsultasi bersama Kementerian/ Agensi dan pihak lain yang berkepentingan dalam menyediakan kertas pembentangan yang berkualiti mengikut topik perbincangan/pembentangan kertas.

  5. Jawatankuasa Kumpulan Kerja berdasarkan fokus keberhasilan utama (key result area) adalah seperti berikut:

    1. Jawatankuasa Kumpulan Kerja 1: Mengukuhkan kedudukan fiskal negara

      Bertanggungjawab dalam menilai dan membuat syor yang melibatkan rasionalisasi subsidi dan konsolidasi pelbagai bantuan, kecekapan pelaksanaan projek, penerimagunaan teknologi dan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan;

    2. Jawatankuasa Kumpulan Kerja 2: Menambah hasil Kerajaan

      Bertanggungjawab dalam menilai dan membuat syor yang melibatkan reformasi percukaian, peningkatan prestasi kutipan hasil serta konsolidasi perbelanjaan dan peruntukan Kerajaan; dan

    3. Jawatankuasa Kumpulan Kerja 3: Menstrukturkan ekonomi negara

      Bertanggungjawab menilai dan membuat syor yang melibatkan peralihan keseimbangan sektor tenaga negara, keterjaminan makanan, pelaburan, pertumbuhan sektor berteraskan inovasi, teknologi dan digital, peralihan kepada ekonomi hijau, penyelarasan peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana serta pembangunan bakat.

    Pengerusi bagi setiap jawatankuasa adalah seperti berikut:
    1. Jawatankuasa Kumpulan Kerja 1 dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi;
    2. Jawatankuasa Kumpulan Kerja 2 dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan; dan
    3. Jawatankuasa Kumpulan Kerja 3 dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi.
    Keahlian jawatankuasa adalah seperti berikut:
    1. wakil daripada Kementerian/ Agensi mengikut topik perbincangan/ pembentangan kertas;
    2. wakil pihak swasta dan pihak berkepentingan yang lain; dan
    3. Pengarah Sekretariat MTEN selaku Setiausaha Jawatankuasa.
  6. Kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Kerja bergantung kepada keperluan dari semasa ke semasa.

  7. Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) MTEN berperanan bagi memuktamadkan kertas cadangan yang telah disediakan oleh Kementerian/ Agensi. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YB Menteri Ekonomi. Keahlian adalah seperti berikut:

    1. YB Timbalan Menteri Ekonomi;
    2. Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi;
    3. Ketua Pengarah, Jabatan Perangkaan Malaysia;
    4. Timbalan Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan;
    5. Pengarah Ekonomi, Pejabat Perdana Menteri;
    6. Wakil Bank Negara;
    7. Wakil Lain-lain Bahagian Kementerian Ekonomi (mengikut keperluan); dan
    8. Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi selaku Setiausaha Jawatankuasa.
  8. Kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) MTEN bergantung kepada keperluan dari semasa ke semasa.

2. Fungsi dan Tanggungjawab Sekretariat MTEN

  1. Sekretariat MTEN ditubuhkan di bawah Kementerian Ekonomi bagi membantu urusan keurusetiaan di semua peringkat Mesyuarat MTEN serta juga memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan kepada MTEN. Sekretariat MTEN diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi sebagai Ketua Sekretariat.

  2. Sekretariat MTEN bertanggungjawab merekod dan mencatat minit Mesyuarat MTEN.

  3. Sekretariat bertanggungjawab ke atas penyimpanan rekod dan dokumen bahan pembentangan, minit dan bahan-bahan lain yang berkaitan dengan Mesyuarat MTEN dengan selamat dan sistematik.

  4. Sekretariat MTEN perlu melaporkan secara berkala pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh MTEN kepada Mesyuarat MTEN.

Struktur MTEN

 

KEAHLIAN MTEN 2025 V1